"cinta adalah kekuatan yang mampu... ~mengubah duri jadi mawar,~mengubah cuka jadi anggur,~mengubah malang jadi untung,~mengubah sedih jadi riang,~mengubah sakit jadi sihat,~mengubah bakhil jadi dermawan,~mengubah padang jadi taman,~mengubah penjara jadi istana,~mengubah amarah jadi ramah,~mengubah musibah jadi muhibbah... itulah cinta..semuanya dianggap indah.."

Wednesday, February 9, 2011

ADUHAI CINTA USAHLAH SIBUK BERPACARAN SAHAJA








‘Kalau perempuan tu dah lama tak balas mesej kita, agak-agak dia dah tak sukakan kita lagi ke, Afiq?’ Seorang sahabat saya bertanya.

‘Barangkali..’ saya menjawab acuh tak acuh, tidak mahu isu ‘cinta berdosa’ dibangkitkan menjadi topik perbualan malam itu. Sambil-sambil itu saya sengaja melakukan kerja lain. Sepatutnya dia seorang pelajar agama lebih memahami.

‘Tapi dah lama sangat dia tak balas mesej aku, takkanlah dia tak ada kredit phone atau tak sempat ke cyber café untuk balas mesej aku kat facebook?’ Sampai ke tahap itu sahabat saya yang seorang ini fikirkan, mengarut sama sekali.

Saya bukanlah Dang Suria di harian Metro untuk menjawab kisah cinta remaja.

‘Nak bercinta mestilah sabar’ balas saya pendek, dengan harapan dia memahami maksud saya.

‘Tak tenanglah kalau macam ni’ dia menyambung pula.

‘Sudahlah tu, selagi tak ada ikatan, semua tu boleh membawa kepada dosa. Tak ada jaminannya cinta sebelum berkahwin ini bermanfaat dan berpahala’

‘Nak berkenalan pun tak boleh?’ Dia membidas kata-kata saya. Nawaitunya saya mengerti sangat, hendak berteman. Tapi bersahabat dengan wanita tanpa tujuan berkahwin bukan caranya.

‘Nak berkenalan ke nak berpacaran?’ Dua-dua masih berdosa. Kalau betul-betul mahukan dia, Islam ada sediakan cara. Kalau sekadar suka-suka, baik hentikan saja. Itu muqaddimah zina namanya’ Kali ini saya bertegas apabila melihat dia tidak makan saman dengan pendapat saya. Mungkin dia sudah tergila-gila akan wanita itu menjadikan dia buat tidak endah dengan nasihat saya.

‘Ish.. aku tak mahu ikat awal-awal, takut tak ada jodoh, berdosa!’ Ah, dia sendiri yang reti menyebut tentang dosa dan pahala, bermakna sudah cukup syarat untuk dia menjauhi sebuah cinta larangan, apatah lagi dia sendiri tahu akan batas-batas pergaulan.

‘Alasan! Habis, yang bercinta siang malam tak rasa berdosa pula?’ Giliran saya pula membidas. Kali ini dia sudah bosan dan putus asa bersembang dengan saya. Saya tersenyum saja.

‘Susahlah bercakap dengan Ustaz ni. Ingatkan doktor cinta boleh setlekan masalah, rupanya menambah masalah’ Dia mulai bosan dengan kata-kata saya. Sesekali saya perlu ‘menamparnya’ dengan nasihat yang pedas supaya dia lekas sedar.

‘Eleh, merajuklah tu. Aku cuma ingatkan dosa pahala je, selebihnya kau lebih faham daripada aku. Sudahlah tu, jom kita makan, dah siap hidang semuanya’ Sambil memaut tangannya , saya mencucuk pinggangnya. Bergelak-tawa saya dan dia menuju ke meja makan.

Malam itu dia mendapat sebuah pengajaran berkenaan cinta.

SERABUT BERCINTA.

Sibuk bercinta pelajarannya tersadai.

Serabut bercinta ALLAH-nya terabai.

Salah bercinta Agamanya tergadai.

Lazimnya, orang bercinta akan sibuk dengan apa yang dicintai. Saya tidak menafikan kebenaran pepatah arab yang berbunyi: ‘Seseorang itu akan menjadi hamba kepada apa yang dicintai’

Anda tidak perlu hairan dengan pepatah arab tersebut kerana ia sebuah realiti yang telah terjadi. Tamsilannya begini, orang yang cintakan ilmu akan berusaha untuk meraih apa jua ilmu yang dicintai olehnya, lalu ketika itu dia sedang menjadi hamba kepada buku-buku dan segala sumber yang bisa membantunya untuk mendapatkan ilmu. Mabuknya dia dalam percintaannya adalah mabuknya dia terhadap ilmu.

Tukarkan saja kalimah ilmu tadi kepada kalimah ‘wanita’ ataupun TUHAN, anda sendiri bisa mencari jawapannya. Menjadi hamba Tuhan ataupun hamba perempuan.

Jika cinta dijadikan sebagai Tuhan, manusia akan hancur, tetapi jika Tuhan yang dicintai dalam sebuah percintaan ia akan menjadi terpimpin.

Kebelakangan ini ramai mereka yang telah terjerat dengan persimpangan cinta semasa status mereka sebagai pelajar, mahasiswa dan graduan. Dua pertimbangan antara cita-cita dan cinta membuatkan mereka rasa bersalah untuk memilih keutamaan.

Lalu, timbullah dilema, bolehkah bercinta semasa memburu cita-cita? Ataupun memburu-cita-cita dahulu kemudian barulah bercinta. Atau jadikan cinta sebagai peniup semangat memburu cita-cita. Atau, apakah bahang cinta boleh melayukan cita-cita. Sungguh banyak persoalan yang timbul untuk membuat pilihan.

Akhirnya, mereka tewas dengan nafsu dan emosi lantas memilih cinta sebagai cita-cita utama semasa remaja. Daripada perasaan bertukar menjadi ‘perasan’

Nasihat seorang Pakar Cinta: ‘Anda mungkin kehilangan cinta dalam memburu cita-cita, tetapi usah risau, kerana apa yang hilang itu bukanlah CINTA tetapi hanya cinta. Dan setelah cita-cita anda tercapai cinta yang sebaik-baiknya akan berada di hadapan anda. Tetapi awas, jika cinta didahulukan daripada cita-cita, anda mungkin bakal kecundang, kerana cinta itu belum cukup teguh. Lalu akan terjerumus ke lembah ‘frust’ dan kecewa’ (Pahrol Md Juoi)


HARAM YANG TAK BERAPA HARAM

Kalau ditanyakan tentang kaedah bercinta sebelum berkahwin yang tepat dan betul, jawapannya adalah tidak ada.

Sampai ke hari ini, saya sejujurnya belum menemui apa jua kaedah bercinta sebelum berkahwin yang benar-benar terperinci seperti kaedah solat, cara berpuasa dan lain-lain hukum ibadah. Ianya tak akan dibolehkan sebelum termeterainya tempoh halal sebuah ikatan antara lelaki dan permepuan melainkan melaui jalan pernikahan. Itu barulah bercinta namanya.

Bercinta sebelum berkahwin, semuanya bergantung kepada perhitungan akal dan kewarasan empunya nafsu untuk bertindak. Ada manusia yang bercinta cuba menghalalkan apa jua cara asalkan dia dapat merasai sebuah percintaan, sehingga ada yang sanggup berselindung di sebalik nama Islam seperti ukhwah-fillah, nasihat-menasihati, dan lain-lain cara.

Bukan begitu jalannya, jika mahu bercinta sekalipun, janganlah sampai ‘mempahalakan’ sebuah dosa yang tidak sepatutnya.

Saya tidak nampak apa yang ada pada sebuah percintaan itu melainkan ianya wujud dan lebih realiti praktikalnya hanya terdapat di dalam sebuah perkahwinan sahaja, bahkan saya boleh katakan ia sebagai ibadah yang berpahala.

Percintaan boleh menjadi pahala jika garis-pandunya adalah ibadah.

Percintaan boleh berganti dosa jika ia bertitik-tolak daripada adat yang salah.

Pendek kata, cinta adalah suatu yang serius dan bermatlamat, Ia bukan suatu keseronokkan, kelalaian atau khayalan semata-mata. Cinta adalah komitmen, tanggungjawab dan Amanah.

Mana mungkin orang yang bercinta tidak bertentangan mata, bertutur, saling-membalas rasa sayang atau perasaan hati, berpegangan tangan, berutusan mesej dan sebagainya. Jika inilah yang ditafsirkan sebagai sebuah perlakuan dalam bercinta, ianya hanya dibenarkan selepas adanya ikatan yang sah dan halal. Maka telah terbuktilah, tiada wujudnya istilah halal bercinta sebelum berkahwin.

Orang yang belum lagi 'berpangkat' halal, jangankan mahu berpegangan tangan atau bercinta, memandang muka pun sudah dilarang oleh ALLAH taala. Selepas saja ALLAH taala menyatakan haramnya mendekati zina, kemudian DIA sekali lagi menyatakan kaedah menjauhi zina dan yang seumpama dengannya, apa kata-Nya:

‘Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan (menundukkan) pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan. Dan Katakanlah kepada orang perempuan yang beriman, hendaklah mereka menahan (menundukkan) pandangannya dan memelihara kemaluan mereka…’

(Surah an-Nur ayat 30 & 31)

Begitulah jelasnya agama yang ingin memelihara manusia daripada terjerumus kepada perlakuan yang haram termasuklah dalam hal bercinta. ISLAM itu tidak pernah melarang manusia untuk melunaskan fitrah mereka bahkan menggalakkannya tetapi memerlukan kepada jalan dan cara yang lebih terpimpin, jalan alternatifnya adalah melalui perkahwinan.

Di sana terdapat segala macam keseronokkan dan kelebihan yang akhirnya akan membuahkan kebahagiaan yang sebenar-benarnya.

Cinta tidak salah, jika haram dan halalnya mampu diawasi.

______________________________________

Nota Kehidupan (1): Insan yang selayaknya anda cintai selepas ALLAH dan Rasul-Nya adalah Ibu bapa dan isteri tercinta. Percayalah!!

Nota Kehidupan (2): Jangan terlalu cinta dan jangan terlalu benci. Kerana benci boleh bertukar sayang, dan cinta boleh berubah benci. Itu kata Nabi saw bukan kata-kata saya.

[Usah Jemu Memberi]
 

penulis mohd afiq mohd salleh

MALAMKU INDAH BERSAMA LIRIK MATAMU (laili jamil fi nazhoro u'uuyunak)

Suhaila cuba menghubungi beberapa kali namun tetap gagal, talian masih tidak berjawab. Sekali lagi dia mencuba, lama, barulah seorang lelaki menjawab panggilan tersebut.

“Hello, Micro Holding Sdn Bhd, boleh saya bantu?” soal lelaki tersebut.

“Boleh saya bercakap dengan Encik Zahid, saya isterinya,” balas Suhaila ringkas.

“Sebentar ya puan,”

“Hello,”

“Assalamualaikum abang,” sahut Suhaila.

“waalaikumsalam,” jawab Zahid sepatah.

“Maaf kalau Ila mengganggu abang. Abang hendak balik makan tengahari?” soal Suhaila mulakan bicara.

“Oh ya, abang lupa nak beritahu Ila, abang tak dapat balik tengahari ini. Ada meeting jam 2 petang nanti. Ila makanlah dulu,” balas Zahid.

“Baiklah,” balas Suhaila pendek. Harapannya hendak makan bersama Zahid tidak kesampaian lagi.

“Abang…”

“Abang tak fikir-fikirkan permintaan bonda semalam?” soal Suhaila memberanikan diri untuk bertanya Zahid. perlahan dan teragak-agak.

“Bukankah abang dah beritahu Ila, abang belum ada masa untuk itu lagi. Kerja yang bertangguh abang mesti siapkan sebelum projek terbaru bermula,” balas Zahid panjang lebar.

“Tapi Ila teringin nak bertemu bonda,”

“Ila, tolonglah faham keadaan abang. Jangan bebankan abang dengan kehendak Ila yang tak seberapa tu. Bonda tak akan ke mana, lepas bersalin nanti kita pulanglah,” tambah Zahid lagi.

“Hmm, abang dah lewat. Nak prepare untuk meeting. Kalau bonda telefon, sampaikan salam abang padanya. Katakan kita tak dapat pulang dalam masa terdekat ni,”

“Assalamualaikum,”

“waalaikumsalam,” sayu suara Suhaila menjawab salam. Talian dimatikan.

* * * * * * * * * * *

Zahid terjaga daripada tidurnya apabila terdengar alunan suara orang membaca ayat al-Quran. Dia memerhati dengan teliti, ‘Suhaila’ bisik hatinya. Suhaila yang membelakanginya khusyuk berteleku mengalunkan ayat suci tersebut. Zahid meraih sedikit ketenangan. Dia membuka sedikit lagi kelopak matanya, dia yakin Suhailalah yang mengalunkan bacaan itu. Sungguh terpesona Zahid, dari jauh dia asyik memerhati tubuh Suhaila dan mengamati bacaan itu.

Suhaila tidak menyedari perbuatannya diperhatikan oleh Zahid sedari tadi, dia ralik dengan bacaannya. Sepanjang dia mengandungkan anak yang pertama ini, setiap malam Suhaila tidak lekang dari membaca Al-Quran, dengan harapan anak yang bakal lahir nanti menjadi pewarisnya yang soleh atau solehah.

Suhaila meneruskan bacaannya, sesekali tersangkut-sangkut dia membetulkan bait bacaan namun dia tetap meneruskannya. Bila dikira-kira hampir setengah juzuk, malam itu Suhaila merasakan sesuatu yang amat bahagia baginya, tidak seperti malam-malam yang lain, setengah juzuk terasa pendek. Seusainya, Suhaila menadah tangannya berdoa:

“ YA ALLAH ya Tuhanku, Ampunkanlah dosa-dosaku dan suamiku, berikanlah kebahagiaan buatnya di dunia dan di akhirat. Sejahterakanlah hidupnya. Sekiranya aku bersalah terhadapnya, maka KAU layak menghukumku YA ALLAH. Jadikanlah aku seorang isteri yang solehah, yang mampu berbakti kepada suamiku sehingga dia tidak terguris dengan perbuatan dan tutur kataku. Amiin YA RABBAL alamin”

Suhaila menyapu kedua telapak tangannya ke muka. Tanpa disedari air matanya mengalir ke pipi. Suasana malam terus menyepi.

* * * * * * * * * * *

Pagi itu sungguh mendamaikan. Kicauan beburung di sana sini cukup menjadikan suasana pagi itu tenang dan damai. Sinaran mentari tidak terlalu panas tetapi cahayanya tetap berseri. Pagi Sayyidul Ayyam yang berkat itu sungguh bahagia. Suhaila sedari tadi sibuk mengemas halaman rumah, selepas menyapu halaman dia menyiram bunga.

Namun pagi itu, Suhaila merasa sedikit kurang enak. Kepalanya sejak malam tadi berdenyut-denyut. Tekaknya pula sering loya. Dia tidak mengesyakki dia akan bersalin dalam masa terdekat. Kata doktor yang memeriksa kandungannya, kemungkinan dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi dia bakal melahirkan anak itu.

Zahid pula tidak bekerja pagi itu. Entah mengapa tiba-tiba dia terasa hendak berehat di rumah. Pagi-pagi lagi dia sudah menghubungi Sufian, mengatakan dia bercuti ‘urgent’. Sufian mengiyakan sahaja.

Di halaman Suhaila sibuk menyiram dan mengemas bunga-bunga yang tergantung. Suhaila cuba mengalihkan pasu bunga ke sudut yang lain, tiba-tiba dia merasakan sakit yang teramat pada kandungannya. Berkali-kali dia cuba bertahan namun gagal. Akhirnya Suhaila rebah.

“Abaaaaaaaaaaang!”

“YA ALLAH, Suhaila!” Zahid pantas menoleh.

Dia terkejut, Suhaila terbaring mengerang kesahitan, hampir seluruh tubuhnya berlumuran darah. Tanpa berlengah dia mencapai telefon bimbitnya dan menghubungi ambulan.

* * * * * * * * * * *

‘tidurlah sayang’ bisik Zahid di dalam hati. Dia merenung anak kecil di sisinya itu. Wajahnya lembut, selembut sehelai kain putih, suci tanpa noda.

‘Darah ibu mu kini adalah darah daging milikmu’ Tambah Zahid lagi. Hatinya sayu.

‘Ibu mu seorang yang sangat baik pekertinya’ Luah Zahid dalam-dalam walaupun anak kecil itu masih tidak mengerti kata-kata Zahid tadi, namun Zahid tahu anak itu mendengarnya meskipun tidak difahami. Entah mengapa hatinya tiba-tiba menjadi sebak. Tanpa disedari air mata lelakinya mengalir membasahi pipinya. Mengenangkan Suhaila adalah mengundang kesedihan dan penyesalan. Zahid pantas menyeka air matanya, bimbang akan menitis ke wajah anak kecil itu. Tangisnya semakin sayu.

‘Alis dan matamu persis ibumu’ Zahid tersenyum kecil, cuba menyejukkan hatinya yang sebak. Dia berusaha mengukir senyuman namun gagal. Air matanya terus mengalir. Pemergian Suhaila adalah kehilangan yang tiada galang gantinya. Zahid mengerti apa yang terjadi adalah suratan takdir yang disusun ILAHI.

Malam ini genap 1 tahun pemergian Suhaila ke alam abadi. Zahid mulai faham kehilangan seorang isteri dan ‘puteri’ bernama Suhaila adalah kehilangan sebuah permata dan cahaya dalam seri hidupnya. Dialah bidadari. Dialah permaisuri dan dialah segalanya. Lantaran itu, dia mula menyesali sikapnya yang dingin terhadap Suhaila sepanjang melayar hidup bersama Suhalia. Namun segalanya sudah berakhir.

‘Maafkan abang, Ila’

‘Maafkan abang, Suhaila’ bisik hati kecilnya lagi.

Sepi.

Suara rengekan si anak kecil mengejutkan Zahid dari lamunan. Dia cepat-cepat mengusap-ngusap ubun-ubun anak itu. Anak kecil kecil itu sedikit merengek dan kembali terlena bila diperlaku begitu oleh Zahid. Zahid tersenyum lagi bila memandang ke wajah ayu anak itu. Kini si anak sudah menjangkau usia 3 tahun. Kepetahan bercakapnya cukup mengundang ceria bagi Zahid. Harapan Zahid biarlah si anak ini menjadi seperti ibunya suatu hari nanti, menjadi wanita penyejuk mata apabila dipandang, menjadi ‘qurratu a’yun’ bagi sesiapa yang memilikinya.

‘Tidurlah sayang’

‘Pejamkan matamu sayang’

‘Suhaili puteriku.......’ Zahid mengucup dahi anak kecil itu buat sekian kalinya lantas ke kamar mandi untuk berwudhu menunaikan Solat Tahajjud. Dia mahu mendoakan kebahagiaan untuk Suhaila di alam ‘sana’ sepuas-puasnya. Jua kebahagiaan diri dan anaknya Suhaili dalam meneruskan kehidupan di sini.
“YA ALLAH, kurniailah aku seorang Isteri yang mampu memberikan daku cintanya dan CINTA-MU yang hakiki, yang mampu mendidikku sehingga aku mampu bertaqarrub dengan DIRI-MU di setiap masa dan ketika. Kurniailah aku seorang Bidadari di dalam keluargaku yang mampu bersamaku ketika senang dan susah. Jua yang senantiasa mendoakan daku apabila aku bertemu dengan-Mu nanti. Jika aku ditakdirkan ke taman syurga-MU, maka pertemukanlah kami di sana, Wahai Tuhan yang Maha Agung,”“Rabbana hablana min azwajina wazurriyatina qurratu a’yun, waj’alna lil muttaqiina imama, Rabbana aatina fiddunnia hasanah, wafil akhirati hasanah waqina azaabannar YA ALLAH, Amin Ya Rabbal A’lamin,”Zahid meraup kedua telapak tangannya ke muka. Hatinya tenang dan puas. Kini tiada lagi lirik mata yang menemani tidur Zahid untuk malam ini dan selamanya.

Tamat

[Usah Jemu Memberi]

CERPEN MELANKOLIK KEHIDUPAN : CINTA GADIS YAHUDI

KUTEMUI gadis Yahudi itu secara kebetulan. Ketika dia masih tercangak-cangak di hadapan University of Jordan, aku lantas menghulurkan bantuan. Barangkali dia tersilap informasi sehingga tersasar haluan di pekan Sweileh itu.

"Mahu ke mana?" sapaku ketika kami bertiga dari Mafraq petang minggu dalam musim bunga.

"Jordan University of Science Technology!" jawabnya sambil menyebak rambut perang yang melitupi wajah pucatnya. Bebola matanya biru nipis galak memandang kami yang sawo matang. Kehairanan mungkin!

"Baru tiba?!"

"Emm... !!"

"Dari mana?"

"Tel Aviv!"

Jawapan itu menjadikan kami bertiga berpandangan .Namun, kami cepat-cepat berlakon selamba. Seperti tidak ada apa-apa. Walaupun sebenarnya diantara aku, Haiqal dan Ridwan dengan gadis itu seperti langit dengan bumi. Perbezaan kami bukan dari warna kulit, akan tetapi lebih jauh daripada itu. Dia Yahudi totok barangkali. Bagaimana harus aku melunasi kerak kebencian terhadap satu bangsa yang jijik sejarahnya itu.

"Saya tersesat! Barangkali saudara boleh membantu!" halus suaranya.

Ada nada merayu simpati dalam ungkapannya. Dia mungkin orang baru yang bakal menjadi warga Sweileh untuk beberapa waktu, mungkin empat tahun. Aku hanya bersetuju walau dalam hati ada rasa kejengkelan. Dia Yahudi totok, musuh sejak lama. Kami tidak punya hubungan apa-apa. Terlalu jauh beza, bangsa, budaya, apatah lagi agama. Permusuhan ini termaktub dalam kitab-kitab utama.

Dan hingga kehari ini api itu masih marak seperti bumi Palestin yang terbakar. Aku melaksanakan tugas kemanusiaan, tanpa mahu berlama-lama mengiringi sekujur tubuh yang membawa jiwa permusuhan. Selesai saja masalahnya, aku segera beredar, sambil membuang segala ingatan tentangnya. Minta dijauhkan daripada bertemu lagi. Keturunannya tidak ada hubungan apa-apa dengan keturunanku, apatah lagi agamaku. Negaranya tidak ada hubungan diplomatik dengan negaraku.

Tidak kuduga, dia tinggal sekolej denganku. Ah, cuma kebetulan.

Waktu makan tengahari pada hari berikutnya, aku disapa dari belakang. Malahan dia mendesak aku untuk duduk semeja. Barangkali mahu mencari perlindungan daripada terjahan mata galak senior. Aku yang sudah dua tahun di sini mungkin selamat untuk didampingi.

"Saya Abigail Netanya," tangan putihnya pantas dihulur.

Aku teragak-agak menerima salam perkenalan itu. Aku berasa diperhatikan oleh seribumata, terutama mata dari rakan-rakan senegara. Malah semua mata di tanah air seakan-akan menjegil tunak ke arahku. Kedinginan musim bunga di Jordan tiba-tiba saja berubah pijar.

"Saya Shahril!" aku menyambut salam perkenalan itu.

Tidak manis tidak menerima salam orang lain. Dan malam itu aku duduk dan makan semeja dengan seorang gadis Yahudi totok. Aku lebih banyak diam daripada bercakap. Jiwaku masih belum dapat menerima bahawa aku akan duduk di depan seorang yang berjiwa permusuhan. Sekali lagi aku bertekad untuk berbuat sesuatu. Aku tidak mahu bertemu lagi dengan gadis bermata biru itu.

Sepanjang malam aku terbayang kerakusan serangan di Ramallah. Aku terbayang ledakan-ledakan maut yang mewarnai bumi Nablus dan Jenin. Sepanjang malam itu terbayang wajah Yasser Arafat yang terketar-ketar bibirnya diasak peluru kereta kebal sehingga meruntuhkan pertahanan terakhir. Yang tinggal hanya kamar sempit, terlalu sempit bagi seorang yang bergelar pemimpin negara.

Esoknya, dia datang lagi. Dan kami duduk semeja lagi. Sehingga suatu petang dia memintaku menghantarnya ke Sweifiyah. Aku tidak dapat menolak. Petang itu kubawa dia melalui Pekan Zarqa sehingga ke Sweifiyah. Aku mula merasakan sesuatu.

"Abigail... !"

"Panggil aku Girl... !"

"Tidak perlu aku.."

"Itu nama manjaku. Hanya ibu yang memanggilku dengan nama itu,"

"Maksudku... " Hilang Kata-kata itu hilang tanpa sempat aku meluahkannnya.

Aku tidak mahu berterusan berkawan dengan seorang yang berjiwa permusuhan. Sebenarnya, aku sedang bermusuh dengannya. Aku tahu yang dia cukup mengerti tentang itu. Lebih-lebih lagi apabila aku memberitahu bahawa aku beragama Islam, datang dari sebuah negara Islam di Asia Tenggara.


Suatu ketika dia menemuiku, wajahnya serius, lain daripada hari-hari yang pernah ku temuinya. Lazimnya Abigail manis mengenakan pakaian sopan. Namun kali ini dia tampak gundah. Aku kira ada sesuatu yang mahu disampaikan. Dia memulakan bicara yang sungguh mengujakan aku.

"Aku sayang kamu Shah... !" Mungkin dia tidak mengerti ucapan dari mulutnya itu. Namun aku rasakan suatu yang ikhlas dari hatinya.

"Ti..tidak! Tidak mungkin... !"

"Cinta tidak mengira agama Shah... !"

"Tetapi, kita tidak boleh meneruskannya... "

"Siapa kata tidak?!"

"Semuanya akan berkata tidak! Kita tidak boleh begini... !" Jawab Shahril pantas.

Dalam tidak mahu itu, aku semakin terbabas ke dalam medan musuh. Dia sebenarnya musuh yang tidak seganas bangsanya meragut nyawa rakyat Palestin. Tetapi dia tetap berlabel musuh. Aku semakin terpengaruh dengan musuh itu. Aku amat takut suatu hari nanti dia akan menjadi musuh dalam ‘selimutku’ sendiri.

Aku perlu bertindak pantas. Aku berpindah dari student village Irbid ke Zarqa. Walaupun jauh sedikit dari medan belajar, sekurang-kurangnya aku punyai ketenangan dan lari dari gadis itu. Biarpun kucekalkan hati, aku sebenarnya mula berasa kehilangan seketika. Sehingga suatu hari pintu rumahku diketuk.

"Kau lari daripada aku, Shah?"

"Tidak! Tidak Girl. Cuma aku... "

"Kau membenci aku! Hanya kerana aku Yahudi," Gadis itu seakan merajuk.

"Susah... susah untuk kuterangkan kepadamu Girl,"

"Shah, aku kebetulan dilahirkan dalam keluarga Yahudi. Tetapi aku manusia biasa seperti kamu, seperti Haiqal dan Ridwan. Di Tel Aviv aku menyertai pertubuhan antikeganasan. Kau tidak boleh membuat generalisasi terhadap aku!" Luah Abigail panjang.

"Kita hanya layak berkawan saja. Itupun atas dasar kebetulan, Girl. Tidak lebih daripada itu.Ada sempadan besar yang merentang di antara kita,"

"Aku mahu berhijrah ke seberang sempadan itu!"

Aku bungkam dengan penyataan yang keluar dari bibir merah gadis berambut perang itu. Aku buntu. Tetapi aku tidak harus kalah dalam permainan perasaan ini. Aku tidak harus menyerah. Langkah terbaik hanya kunantikan saat kami berpisah.

Aku akan menyelesaikan pengajian sarjana dalam bidang kedoktoran. Selepas itu akan pulang ketanah air. Barangkali ini saja cara yang dapat membebaskan musuh yang kudampingi semakin hampir ini. Semakin hampir sehingga tidak dapat kubohong isi hati dan perasaanku.

Ya, cinta itu cuba-cuba untuk memutik.

Akhirnya, saat yang kunantikan tiba juga. Setelah 5 tahun aku berdepan dengan musuh keturunan dan agama, aku menunggu saat untuk berangkat. Biarkan dia keseoranganditanah Ambiya itu. Dia sudah lama di sini dan punya ramai kenalan. Tidak lama lagi dia juga akan menamatkan pengajian fiziknya. Dia akan balik ke Tel Aviv. Dia akan membantu membunuh umat Islam di bumi Palestin. Itulah yang ada dalam fikiranku. Dia Yahudi totok. Yahudi tetap Yahudi. Aku tidak mahu bersubahat lagi dalam perkara ini. Cukuplah. Aku hanya menantikan saat untuk pulang. Dia tetap musuhku, biarpun sebenarnya sebagai manusia aku semakin sayang kepadanya.

Suatu pagi dia menemui ku.

"Shah, boleh kukatakan sesuatu kepadamu... "

"Katakan Girl. Yang pasti aku mahu pulang ke tanah airku!"

"Aku mahu ikut kau pulang ke Malaysia!"

Darahku seperti berhenti mengalir sejenak. Kerongkongku seperti disumbat kain yang basah oleh darah rakyat Palestin. Kita tidak ada hubungan apa-apa. Tiada hubungan diplomatik. Tiada hubungan agama.

Aku ingat ketika pasukan kriket negaranya datang ke Malaysia, keadaannya amat kecoh. Ramai yang berdemonstrasi menentang kedatangan itu. Mustahil aku akan membawa balik seorang gadis Yahudi totok.

"Itu sesuatu yang sangat mustahil, Girl,"

"Aku sudah buat keputusan... !"

"Itu keputusan kamu, bukan aku!"

"Aku telah ke musalla kampus minggu lepas,"

"Buat apa?"

Dia diam seribu bahasa.

Soalan itu tidak terjawab hingga kini. Aku masih diserang kegugupan yang serius. Dalam hati ini, aku tidak dapat menafikan bahawa jiwa lelakiku telah mula memuja wajah lembutnya, rambut perang keemasannya, mata birunya, dan semua yang ada pada dirinya. Akan tetapi aku masih mampu bertahan. Ini soal besar. Membabitkan negara, lebih-lebih lagi agamaku yang suci.

Musim bunga di Pekan Zarqa itu bakal menjadi medan yang terakhir buatku. Beberapa musim yang lalu, aku sering bersama Girl, berjalan dari kampus University of Jordan ke pusat bandar. Tidak jauh, hanya lima belas minit dalam keadaan biasa. Tetapi, aku dan Girl akan mengambil masa yang lebih. Terutamanya apabila Sweileh disirami hujan kerana kedudukannya yang hampir dengan pantai barat.

Kami selalu berjalan melalui taman bunga yang menempatkan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan, dan Jabatan Pendidikan. Sering juga aku dan Girl menghabiskan cuti hujung minggu di Jerash mengambil angin segar di sepanjang runtuhan kota lama atau kami berpeleseran di stesen bas di Amman . Semuanya menjadikan aku dan Girl seperti sepasang kekasih. Tetapi dia tetap musuh kepadaku. Aku tidak harus percaya dengan mudah segala kata manisnya.

"Aku serius Shah... !"

"Maksud kamu Girl?"

"Aku mahu terus berada di sampingmu... "

"Hanya untuk itu?"

"Tidak shah! Aku sudah lama mahu melakukannya di negeriku. Tetapi keadaan tidak mengizinkan!"

"Sukar untuk kupercaya, Girl!"

"Terpulang! Tapi aku akan buktikan kepadamu shah," Pipi gebunya basah sedikit demi sedikit dengan alir air matanya. Dia lebih cantik ketika bersedih.

Mata birunya kulihat basah. Tangisan itu masih meragukan hatiku. Benarkah dia ikhlas dengan semua yang diperkatakan. Atau dia sengaja mahu memerangkap aku, sementelah kami sememangnya musuh yang panjang sejarahnya. Adakah aku akan tewas dengan air mata itu.

Aku pulang penghujung musim bunga setelah selesai majlis konvokesyen sarjanaku. Hingga ke saat perpisahan kami di Queen Rania Airport, Girl masih merayu aku dengan permintaan yang sama. Akan tetapi aku terpaksa bertegas, walaupun pernah sekali kulihat dia bertelekung dahulu, seperti baru selesai solat ketika aku ke kediamannya. Bagiku musuh boleh berbuat apa saja untuk memerangkap lawan.

Ketika aku mula bertugas di ibu kota, aku mula mendapat surat elektroni daripada Girl. Dalam emailnya, dia masih merayu agar aku berbuat sesuatu. Katanya dia akan menjadi seorang muslimah sejati sekiranya aku memberikan kata putus. Katanya, kalau boleh, dia tidak mahu pulang ke Tel Aviv. Katanya dia sudah terlalu jijik melihat kekejaman manusia. Dan aku masih tidak percaya.

Dua tahun selepas aku pulang, Girl menamatkan pengajiannya. Kami terus berhubung melalui siber. Dan malam itu apabila aku membuka kotak e-mail, aku terperanjat dengan isi kandungannya.

"Shah, aku merayu untuk sekian kalinya kepadamu. Namun aku sedar kau seorang yang sangat kuat pendirian dan kukuh pegangan agama. Aku hormati pendirianmu. Aku sudah mengubah pendirianku untuk tidak pulang ke tanah air. Aku tidak menyalahkanmu. Kini aku sebenarnya sudah berada di tanah tumpah darahku sendiri. Maafkan aku Shah. Halalkan segala kenangan kita ditanah Jordan. Seperti yang kujanjikan padamu, aku sudah berhijrah, dan akan terus berhijrah. Untuk e-mel terakhir ini, aku nyatakan sekali lagi dan yang terakhir, bahawa aku benar-benar mencintaimu saat mula-mula kita bertemu. Selamat tinggal Shah. Akan kubawa cinta suciku hingga mati."

Dariku,

Asma’ Abdullah @ Girl



Malam itu aku terkedu separuh mati menonton berita lewat dari Al-Jazeera: Seorang gadis yang bernama Abigail Netanya meletupkan dirinya dalam sebuah disko dan membunuh tidak kurang daripada dua puluh remaja rakyat Israel yang sedang bersuka ria?

Dialah Abigail yang kukenali. Abigail yang benar-benar telah berhijrah. Malam itu juga, aku berzikir panjang, bertahlil seorang diri untuk roh seorang yang pernah hadir dalam hidupku. Semoga rohnya diterima dalam kelompok mereka yang syahid.

Kini, hampir setiap malam ‘gadis’ itu menjelma dalam mimpiku. Berpakaian putih bercahaya tersenyum ke arahku.
__________________________________

Nota Kehidupan (1): Cerpen ‘Cinta Gadis Yahudi’ ini bukanlah karya asli saya, ianya saya temui dan saya perkemaskan lagi jalan ceritanya. Beberapa nama penting saya ubah untuk kelihatan lebih sesuai dengan keadaan.

Nota Kehidupan (2): Dahulu, saya ada bercita-cita mahu menikahi atau mempunyai isteri di kalangan seorang muallaf Cina.

Nota Kehidupan (3): Saya dan teman-teman tinggal dan belajar di Jordan yang sangat berhampiran dengan Negara Palestin. Saya akui gadis Palestin atau Israel sememangnya mempunyai wajah yang anggun dan memukau! Itu bukan kata saya seorang...


mohd afiq mohd salleh (penulis)






[Usah Jemu Memberi]


60 PETUA MENDAPATKAN PASANGAN (DATO' DR FADZILAH KAMSAR)

1. Semua orang ada jodoh atau pasangan yang menanti dan biasanya ia berada tidak jauh dari anda. Jarang orang bertemu dengan jodoh yang berada jauh darinya.

2. Jodoh itu ketentuan Allah dan kita wajib berusaha. Doa, usaha yang betul dan bersungguh-sungguh disertai dengan tawakkal, insyallah akan menemukan anda dengan pasangan anda.

3. Ramai orang masih belum bertemu jodoh kerana mudah patah semangat. Teruskan usaha sehingga anda bertemu jodoh.

4. Seimbangkan hidup anda dengan sempurna agar diri anda jadi seperti “magnet” yang menarik bakal pasangan anda kepada anda.

5. Daya tarikan yang sebenar berpusat di hati yang murni. Berusahalah untuk mencuci hati anda daripada semua perasaan yang negatif terhadap semua orang di dunia ini.

6. Agar mudah orang sayang, cuci hati dengan jaga ibadah, solat taubat, beristighfar, baca Al-Quran, maafkan orang lain, meminta maaf, bersedekah dan berfikiran positif.

7. Sayangi semua orang di sekitar anda dan anda akan menarik sayang terhadap anda. Jika anda membenci orang, ditakuti bakal pasangan anda akan membenci anda.

8. Orang yang sedang mencari pasangan harus sentiasa bersedia untuk bertemu dengan pasangannya pada bila-bila masa. Justeru, kita perlu sentiasa dalam keadaan yang paling menarik setiap masa. Tanggapan pertama adalah yang terpenting.

9. Untuk lelaki, tarikan pertama ialah pakaiannya. Untuk perempuan, wajah dan bentuk badan menjadi tarikan pertama. Sediakan diri untuk menawan bakal pasangan anda.

10. Buka hati dan minda anda untuk menerima cinta. Cinta boleh berputik pada bila-bila masa. Cinta mudah datang kepada mereka yang sentiasa bersedia untuk menerima cinta.

11. Cinta datang melalui mata lalu turun ke hati. Justeru, perhebatkan hubungan mata secara memandang bakal pasangan dengan penuh kasih sayang.

12. Kita boleh berkomunikasi melalui fikiran. Hantarlah kasih sayang dan hasrat murni anda terhadap pasangan dengan gelombang fikiran ini secara berterusan hingga berjaya.

13. Ramai yang terlepas peluang dan patah hati sebab lewat menyatakan hasrat kepada bakal pasangan. Perkara yang baik disegerakan (iaitu menyatakan perasaan anda kepada bakal pasangan).

14. Tidak salah untuk orang perempuan memulakan usaha untuk berkenalan. Orang lelaki akan sentiasa merasakan mereka yang memulakan perkenalan walaupun sebenarnya orang perempuan yang mulakan.

15. Berkomunikasi dengan mesra dan bersemangat menggunakan lidah, mata, hati dan bahasa badan. Elakkan bercakap sambil lewa atau kurang sopan terhadap bakal pasangan.

16. Berbual dengan pasangan mengenai apa yang dia suka. Beri tumpuan kepada minat dan perasaannya. Elakkan sibuk memberi tumpuan kepada diri sendiri.

17. Layan bakal pasangan dengan mesra seperti kawan lama walaupun baru berkenalan. Bentuk suasana keintiman dengan segera agar bakal pasangan rasa selesa.

18. Makin mudah kita menceritakan hal peribadi yang munasabah kepada bakal pasangan, semakin mudah dia menceritakan hal dirinya kepada kita.

19. Berdoa dan latih diri agar kita pandai mendampingi orang lain dan seronok untuk didampingi oleh orang lain. Buang perangai yang menyebabkan orang benci kepada kita.

20. Beri sayang untuk mendapat sayang. Orang yang masih ada perasaan benci terhadap sebarang orang boleh menyebabkan bakal pasangan benci atau tidak tertarik kepada kita. Justeru buang semua benci.

21. Untuk wanita, jangan jual mahal terhadap bakal pasangan. Tetapi, nyatakan dengan hikmah kepadanya yang anda amat sukar untuk berkenalan dengan lelaki lain.

22. Kebanyakan lelaki mudah tertarik kepada perempuan yang simple, tidak materialistik, mudah berterima kasih dan redha dengan setiap pemberian lelaki tersebut.

23. Orang perempuan mudah tertarik kepada lelaki yang memberi perhatian, penghargaan dan penghormatan kepada mereka. Justeru, orang lelaki janganlah terlalu jimat atau kedekut.

24. Orang lelaki perlu belajar mengenal kerenah orang perempuan. perasaan, pemikiran, kehendak, keperluan, kesukaan dan kebenciannya.

25. Elakkan memberi tumpuan kepada kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada bakal pasangan. Jangan sesekali mengutuk atau memalukan bakal pasangan.

26. Senyuman ikhlas, wajah yang menawan dan bahasa badan yang penuh kemesraan akan menambat lelaki terhadap wanita.

27. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang ada persamaan dan ada perbezaan sifat, tindakan dan minat. Terlalu banyak persamaan membosankan. Banyak sangat perbezaan menyesakkan.

28. Orang mudah tertarik kepada bakal pasangan yang ada sikap dan sifat yang saling mengimbangi dan melengkapkan sikap dan sifatnya.

29. Walaupun belum kenal rapat dengan bakal pasangan, nyatakan yang anda sering merasa atau berfikir seperti yang dia rasa atau fikir. Keserasian adalah tarikan.

30. Perempuan membentuk hubungan dengan berbual dan bercakap. Lelaki bentuk hubungan dengan melakukan sesuatu kegiatan secara bersama.

31. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang mempunyai persamaan daripada berbagai segi seperti kefahaman politik, aktiviti keagamaan, sikap terhadap harta, wang dan hobi.

32. Dua orang yang amat banyak perbezaan boleh serasi antara satu sama lain jika mempunyai satu atau dua persamaan yang mendalam seperti suka kepada kucing, suka melancong atau suka ramai anak.

33. Tindakan yang serentak akan menarik bakal pasangan terhadap anda. Contohnya, serentak berpaling, serentak angkat gelas, serentak berdiri, serentak nak ke tandas.

34. Tawan hati bakal pasangan dengan pamerkan emosi yang sama terhadap sesuatu kejadian atau peristiwa – sama-sama gembira, sedih, terperanjat, benci, simpati dan sebagainya.

35. Dua insan mudah serasi jika mempunyai pentafsiran yang sama mengenai hubungan – tahap keakraban, kebebasan, kebergantungan, pemberian, pengorbanan dan sebagainya.

36. Kenalpasti ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri ini dalam diri anda dan pamerkan kepadanya yang anda mempunyai ciri-ciri tersebut.

37. Semua orang mencari cinta sejati tanpa syarat. Bakal pasangan anda akan tertarik kepada anda jika anda mengasihinya bukan kerana wajah, harta, keturunan atau glamornya.

38. Bakal pasangan akan tertawan kepada anda jika anda dapat bantu mengukuhkan imej dirinya, rangsang semangatnya dan pupuk keyakinan dirinya.

39. Keikhlasan amat penting dalam memuji atau memotivasi bakal pasangan. Jika kita didapati bohong, dia akan terus menjauhkan diri daripada kita.

40. Pujian yang berhikmah dan ikhlas bertindak sebagai magnet yang menarik anda kepada bakal pasangan. Pujian daripada kawan baru lebih bermakna dan berkesan berbanding pujian daripada kawan lama.

41. Ulang sebut perkataan, ayat atau slogan yang digemari bakal pasangan anda. Ini menyebabkan dia rasa istimewa dan dihargai dan akan tertawan kepada anda.

42. Kenalpasti keistimewaan bakal pasangan anda yang orang lain tidak nampak. Sampaikan kehebatan ini dengan bersemangat dan dia akan mudah tertawan kepada anda.

43. Untuk bakal pasangan yang popular dan sering dipuji , cari pujian yang original untuk menambat hatinya. Untuk orang yang tidak popular, sebarang pujian amat dialukan dan dihargai.

44. Beri penghargaan serta merta kepada setiap pencapaian atau kejayaan bakal pasangan. Ini membelai dan melembutkan hatinya terhadap anda.

45. Jika bakal pasangan memuji anda, pamerkan keseronokan anda dengan senyuman dan ucapan terima kasih dan bersyukur. Dia akan rasa dihargai.

46. Cari keunikan, kelucuan atau ‘kegilaan’ bakal pasangan anda. Nyatakan yang anda suka kepadanya sebab keunikan tersebut. Ini buat dia rasa istimewa.

47. Ramai pasangan sengsara bila isteri terlalu cantik atau suami terlalu handsome. Justeru, cari bakal pasangan yang setara dan sepadan dengan kita.

48. Orang yang merasa dirinya hodoh sukar untuk mendapat pasangan. Carilah kecantikan yang ada pada anda dan bentuk keyakinan diri. Hati yang suci dan keyakinan yang tinggi menyerlahkan kecantikan anda.

49. Wanita mudah tertawan kepada lelaki yang gentleman – bersopan santun, suka membantu, menghormati wanita, berani dan yakin diri.

50. Untuk jadi lebih menawan, berterusan belajar, perbaiki perangai dan peribadi, baiki kemahiran komunikasi, murnikan hati, pemaaf dan sentiasa bersangka baik.

51. Lelaki harus mempamerkan sifat kelelakiannya di samping memasukkan sifat perempuan dalam dirinya seperti lebih prihatin, memahami emosi , timbang rasa, dan gunakan gerak batin.

52. Perempuan harus mempamerkan sifat kewanitaan disamping menghayati sifat lelaki seperti minat dalam politik, sukan, memancing, dan aktiviti macho yang lain. Bertindak bijak tapi, jangan terlalu bijak.

53. Untuk menambat hati wanita, kerap bertanya tentang perasaannya, aktiviti yang dijalankannya, kegemarannya, kebenciannya atau sebarang perkara yang berkaitan dengan emosi.

54. Sebelum benar-benar rapat, orang perempuan harus elakkan diri dari bertanya bakal pasangan mengenai perasaannya mengenai sesuatu perkara, peristiwa atau situasi.

55. Orang lelaki amat pantang bila bakal pasangan menempelak atau menunjukkan kesilapan atau kebodohan lelaki tersebut. Ini cara terbaik memutuskan hubungan.

56. Orang perempuan mudah tertawan kepada lelaki yang boleh mengaku salah, meminta maaf, meminta bantuan, bertolak ansur, pandai mendengar, bersabar dan lemah lembut terhadap wanita.

57. Bila bercakap dengan lelaki, orang perempuan harus fokus kepada fakta dan sampaikan secara ringkas. Penjelasan yang berjela-jela dan memasukkan unsur perasaan akan membunuh minat lelaki terhadapnya.

58. Jika orang perempuan marah, pujuklah dengan kasih sayang. Tanya Kenapa dia marah, dengari dengan teliti dan jangan komen atau cuba beri nasihat. Orang perempuan mudah sayang pada lelaki yang pandai mendengar dan sensitif kepada perasaannya.
59. Jika lelaki marah, jangan sibuk nak tanya Kenapa dia marah. Pamerkan kasih sayang dan bentuk suasana yang tenang. Doakan dia dan beri masa untuk dia merawat dirinya sendiri.

60. Fahami bahawa orang lelaki bercakap secara terus terang, ringkas dan objektif. Orang perempuan sering bercakap secara berlapik, terperinci dan banyak yang tersirat.

BERCAKAP-CAKAP DENGAN DIRI SENDIRI DAPAT MENCETUS SEMANGAT

Cara paling mudah untuk kita bermotivasi pada diri sendiri adalah dengan bercakap ngan diri kita sendiri di dalam hati. Cakapkanlah apa saja pada diri Anda sendiri untuk membangkitkan rasa bersemangat yang amat kuat.
Bina attitude ‘you can do it‘. Katakan pada diri Anda berkali-kali, you can do it, you can do it, you can do it.
Jika Anda sedang merasa sukar ketika melakukan sesuatu, gunakan cara ini. Beri semangat pada diri sendiri dengan mengatakan di dalam hati..“aku boleh buat, aku boleh buat, aku boleh buat”.
Kenapa mesti 3 kali? Sebab, 3 kali lebih power daripada hanya 1 kali.
Macam kita makan juga..3 kali makan lebih banyak isinya dari cuma 1 kali makan. Cara lain untuk memotivasikan diri, gunakan ayat seperti ini..”orang lain boleh buat, aku pun boleh buat. Aku boleh buat, aku boleh buat, aku boleh buat!!.”..
Mula-mula buat teknik ni, perubahnya tak berapa ketara tapi bila dah selalu selepas dua tiga  hari, Anda akan terasa perubahannya. Ini kerana minda kita amik masa untuk menghadam lalu memahami perkara-perkara baru. Bila minda dah faham, minda akan mengatur sistem saraf dan aliran darah supaya jadi seleras dengan kemahuan Anda.
Jadi, tiap kali Anda kata “aku boleh buat” tetiba ada timbul keyakinan tinggi yang Anda memang boleh buat, sebab Anda nampak orang lain boleh buat. Bila buat, Anda tak akan rasa ragu-ragu langsung.
Tiap kali Anda rasa tertekan sebab rasa sukar, katakan pada diri “aku boleh buat” ..Gunakan perkataan “aku boleh” lalu sesuaikan dengan situasi Anda supaya Anda jadi lebih bersemangat.

8 CARA BAGAIMANA UNTUK BERTENANG-TENANG SELALU

1. Mulakan dengan niat.
Untuk bertenang selalu dan untuk membina ketenangan dalam diri, mulakan dengan niat. Kenapa Anda mahu bertenang? Mesti ada sebabnya kan. Sebagai contoh, Anda mahu bertenang mungkin sebab Anda mahu mengelak dari stress, mungkin sebab Anda mahu melatih diri supaya bertenang selalu atau simply Anda mahu merasai ketenangan dalam apa jua perkara yang Anda lakukan.

2. Longgarkan otot, longgarkan sendi, longgarkan urat kening.
Elak dari mengerut kening ketika Anda sedang merenung, sedang berfikir atau ketika sedang melihat pada sesuatu misalnya skrin komputer atau skrin projektor. Jangan biaskaan diri mengerut kening sebab pergerakan otot kening ketika dikerutkan akan membuat Anda tertekan. Hal ini akan menyebabkan minda Anda terlalu fokus. Bila sudah terlalu fokus, tak ada ketenangan sebab minda Anda dipengaruhi oleh kerisauan dan kekelamkabutan. Sebaiknya, saat membaca sesuatu, merenung atau memikirkan sesuatu, cuba relaks. Bawak diri bertenang.

3. Kawal emosi.
Cara untuk bertenang adalah dengan bersabar. Bukan kawal marah, tapi bersabar. Ketika bersabar, Anda menahan diri supaya bertenang. Ketika menahan marah, Anda masih nampak marah cuma dalam amaun yang ditapis-tapis. Anda masih menampakkan marah diwajah Anda. Ketika bersabar, Anda memujuk diri Anda supaya bertenang tanpa ada keinginan mahu menampakkan yang Anda sedang marah tapi ditahan-tahan. Bina ketenangan dengan melatih diri untuk sentiasa bersabar. Kawal emosi dengan mengamalkan sikap bersabar.

4. Pernafasan.
Pernafasan terarah membuat Anda merasa tenang. Untuk melatih diri bertenang ketika jiwa Anda kacau bilau, tarik nafas melalui hidung, tahan sehingga 3 saat kemudian hembus perlahan-lahan melalui hidung juga. Ketika menarik nafas, penuhkan rongga dada dengan udara sehingga tak termampu, tahan 3 saat lepas tu hembus perlahan-lahan sehingga tak ada lagi yang tinggal. Ulang sebanyak 7 kali untuk impak maksima. Anda boleh lakukan teknik ni ketika membaca, memasak, memotong sayur, memandu, menaiki bas, ketika dalam lif, ketika dalam mesyuarat atau ketika sedang berbincang dengan seseorang.

5. Sembahyang.
Sembahyang dapat membina ketenangan. Ketika sembahyang, hati Anda, jiwa, fikiran dan minda dapat di tenangkan kerana Anda perlu khusyuk. Anda tak akan dapat merasai kekhusyukan sembahyang jika Anda tidak tenang. Cara paling baik untuk membina ketenangan dalam diri adalah melalui sembahyang.

6. Elak berpeluk tubuh.
Ketika sedang berpeluk tubuh, Anda sedang berada dalam posisi DEFENSIF. Mungkin Anda sudah terbiasa berpeluk tubuh ketika sedang menunggu,ketika menonton wayang, ketika berjalan, ketika duduk atau ketika sedang bercakap. Tahukah Anda berpeluk tubuh tak akan membuat Anda merasa tenang langsung? Solusi kepada hal ni adalah dengan menekup kedua-dua tangan di bahagian tapak lalu meletaknya di bahagian hadapan seperti mahu menyalam seseorang dengan kedua-dua tangan. Sebagai contoh, lihat kepada posisi tangan Dr. Irfan Khairi setiap kali dia ditemubual. Tangan kiri dan tangan kanannya diletak di bahagian hadapan kemudian ditemukan di bahagian tapak tangan seolah-olah mahu bersalaman. Cara ini membuat Anda merasa tenang, mengawal gugup, membuat fikiran jadi lebih rasional.

7. Dekat dengan orang yang tenang selalu.
Dekatkan diri selalu dengan orang yang tenang. Orang camni biasanya tak suka marah, tak suka bersuara tinggi dan sentiasa hormat pada orang lain tanpa mengira darjat, pangkat atau status. Bila Anda dekat dengan orang yang tenang, Anda juga akan merasa tenang. Terlihat wajahnya terasa ada getara di dalam jiwa kesan dari pancaran ketenangan yang terpamer di mukanya.

8. LET GO.
Ini adalah langkah terpenting. Let go semua masalah-masalah di fikiran. Lepaskan pergi semua kerisauan. Tinggalkan semua kegusaran. Lupakan hal-hal yang membuat Anda tertekan. Lupakan. Lepaskan pergi untuk seketika. Tarik nafas. LET Go untuk 3-5 jam seterusnya. Anda akan merasa tenang. Setelah itu fikirlah balik segala perkara yang Anda mahu fikir. Anda akan mendapat idea bagaimana untuk menyelesaikan masalah, Anda akan dapat ilham bagaimana mengatasi kegusaran, Anda akan mendapat suntikan inspirasi untuk mengatasi perkara-perkara yang membuat Anda tertekan.
Ketenangan membuat minda Anda bertindak cemerlang. Ketenangan juga baik untuk mengekalkan motivasi serta mengekalkan kebahagiaan rumah tangga.
Dalam perhubungan sesama manusia, ketenangan membuat Anda disenangi orang.
Dalam perhubungan antara Anda dengan Tuhan, pasti Anda dirahmati olehNYA.
Jiwa yang tenang adalah jiwa yang dengan dengan alam kemudian akan jadi dekat dengan pencipta alam, iaitu Tuhan.

HARGAI NILAI KASIH SAYANG

Kasih sayang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan makhluk yang melata di muka bumi ini samada dia bergelar insan atau pun binatang. Cuma tahap kasih sayang yang membezakan antara satu sama lain. Tiada manusia yang benci kepada kasih sayang walau sekejam mana pun dia namun hati nuraninya turut merindui belaian kasih sayang daripada insan lain. Berapa banyak jiwa yang melayang kerana hilangnya peri kemanusiaan dalam diri dan berapa ramai yang menjadi mangsa fitnah setelah lenyapnya kasih sayang sesama sendiri.Negara dikejutkan dengan ibu atau bapa sanggup menikam serta mengelar anak sendiri manakala anak pula menetak ibu atau bapa.Itu belum dikira dengan pencabulan dan pembunuhan terhadap perempuan termasuk pelajar sekolah. Apakah yang merasuk dan meresap ke dalam jiwa mereka sehingga sanggup melakukan jenayah yang kejam ini. Nabi pernah berpesan bagaimana tidak sempurna iman seseorang itu sehinggalah dia mengasihi orang lain sebagaimana dia mengasihani dirinya sendiri. Apa yang dia suka diperlakukan ke atasnya begitu juga apa yang dibenci berlaku kepadanya maka perkara yang sama juga mesti diraikan terhadap orang lain. Jangan perkara yang elok hanya mesti dilakukan kepadanya sedangkan dirinya tidak pernah menghormati perasaan orang lain. Rasulullah s.a.w sendiri ketika menjawab pertanyaan seseorang yang baru memeluk Islam di mana dia meminta keizinan untuk berzina lalu nabi dengan lembut bertanya kepadanya tentang kesanggupannya jika ada orang lain yang berzina dengan ibu atau saudara perempuannya. Lantas dia menjawab bahawa dia akan membunuh sesiapa yang berani berzina dengan ibu atau saudara perempuannya maka Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa perkara itulah juga yang dirasai oleh lain apabila ada dikalangan keluarganya yang diaibkan.        Islam telah meletakkan garisan yang jelas tentang kasih sayang di mana kita mestilah berkasih sayang kerana Allah. Bertemu kerana Allah dan berpisah pun kerana Allah. Banyak kisah yang menyedarkan kita bagaimana nikmatnya jika berkasih sayang kerana Allah antaranya bagaimana kisah 2 persahabatan di mana salah satunya bersahabat kerana Allah manakala yang satu lagi kerana dunia semata-mata. Akhirnya salah seorang yang bersahabat kerana Allah meninggal dunia di mana semasa berada di dalam kubur dia dapat merasai nikmat kubur lalu dia merasakan bahawa kawannya yang masih hidup telah banyak berdoa kepadanya. Dia turut berdoa agar kawannya yang masih hidup dapat hidup dalam keadaan bahagia di bawah buimbung rahmat dan kasih sayang Allah. Kemudian kawannya itu pula meninggal dunia lalu mereka berdua bertemu di dalam kubur dan saling memuji antara satu sama lain.Si yang telah lama mati memuji kawannya kerana banyak berdoa kepadanya yang membolehkan dia memperolehi nikmat kubur manakala kawannya yang baru mati pula memujinya kerana banyak berdoa sehingga dia dapat merasai kebahagian hidup dan senang selepas mati.
        Kisah dua orang yang bersahabat kerana dunia semata-mata pula di mana apabila salah seorang daripadanya telah meninggal dunia lalu dia disiksa di dalam kubur yang menyebabkan dia mengutuk kawannya yang masih hidup atas alasan sebab kawannya itulah dia tersiksa. Apabila kawannya itu pula mati lalu mereka bertemu dan saling mengutuk antara satu sama lain di mana masing-masing saling menuduh bahawa kawannya itulah yang menyebabkan mereka lalai dengan dunia yang membawa kepada mereka terseksa di dalam kubur. Semoga kisah ini dapat membuka lagi hati nurani kita untuk meletakkan kasih sayang pada tempat yang betul dengan mengikut neraca Islam. Islamlah nescaya kita selamat dunia dan akhirat.