"cinta adalah kekuatan yang mampu... ~mengubah duri jadi mawar,~mengubah cuka jadi anggur,~mengubah malang jadi untung,~mengubah sedih jadi riang,~mengubah sakit jadi sihat,~mengubah bakhil jadi dermawan,~mengubah padang jadi taman,~mengubah penjara jadi istana,~mengubah amarah jadi ramah,~mengubah musibah jadi muhibbah... itulah cinta..semuanya dianggap indah.."

Tuesday, April 26, 2011

Dunia adalah Penjara Bagi Orang Beriman dan Syurga Bagi Orang Kafir




Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW bersabda maksudnya : " Dunia itu penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang kafir."(Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, dan At-Tirmidzi dari  Abu Hurairah. Sahih Al-Jami' - 3412)

Hidup di dunia ini adalah medan ujian untuk orang-orang yang beriman. Hidup di dunia adalah sementara waktu sahaja kerana setiap masa terikat dengan peraturan dan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT . Keadaan yang dikawal dengan undang-undang dan hukum-hakam dan tidak boleh lari daripada peraturan yang ditetapkan adalah dianggap sebagai penjara. Jika kita lihat suasana hidup dipenjara tidaklah sama semasa hidup bebas diluar penjara, kerana dipenjara setiap masa dikawal dengan undang-undang , ada warden yang sentiasa mengawasi setiap banduan, waktu untuk makan, bermain, tidur semuanya ada masa-masa yang telah ditetapkan dan setiap banduan diwajibkan untuk mematuhinya.

Di dunia ini adalah syurga untuk orang kafir kerana mereka bebas membuat apa saja yang dapat memuaskan hawa nafsunya. Bagi mereka tidak ada yang haram semuanya boleh belaka seperti berzina, minum arak, menipu, main judi dan bersekedudukan tidak halangan dan peraturan yang menyekatnya. Di hari akhirat nanti tidak berpeluang memasuki syurga sebaliknya akan dimasukkan ke dala neraka Jahanam.

Sahabat yang dimuliakan,
Orang beriman tidak mengenal letih, putus asa dan kecewa dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Dunia tempat bekerja bukan tempat rehat. Oleh itu kalian mesti gigih melaksanakan amal soleh, memperbanyakkan amal ibadah, meningkatkan ilmu fardu ain dan menyampaikannya, berdakwah dan berjihad di jalan Allah SWT.

Ingatlah! Dunia tempat menanam, akhirat tempat menuai. Waktu menanam memanglah susah, tidak semudah waktu menuai. Tetapi tanpa melalui kesusahan, kita tidak akan dapat menikmati kesenangan. Jangan sekali-kali mengikut ajakan syaitan dan godaan nafsu menyuruh berbuat jahat dan kemungkaran. Seorang mukmin tahu dengan yakin, dunia bukan negeri yang mulia. Tempat sekadar persingahan yang sementara.

Abu Said meriwayatkan, Rasullullah SAW bersabda "Nabi Musa a.s. berkata :  "Wahai Rabb, sungguh engkau telah menutup dunia untuk hamba-Mu yang beriman!"

Lalu Allah SWT membukakan salah satuu pintu syurga  seraya berfirman maksudnya :  " Inilah yang Ku- persiapkan untuknya"

Nabi Musa a.s.  berkata : "Demi kemuliaan dan keagungan dan ketinggian kedudukan-Mu, andaikan ada orang yang dipotong kedua tangan dan kakinya lalu diseret wajahnya semenjak Engkau menciptakannya sampai hari kiamat, kemudian ini (syurga) ialah tempat kembalinya, tentu seakan ia sama sekali tak ingat lagi akan seksaan."

Nabi Musa a.s. berkata :  "Wahai Rabb, sungguh engkau memberi kenikmatan  kepada orang kafir..." Lalu Dia membukakan untuknya salah satu pintu neraka, seraya berfirman maksudnya : "Inilah yang Ku-persiapkan untuknya."

Nabi Musa a.s.  berkata : "Wahai Rabb, Demi Kemuliaan-Mu, andai Engkau berikan kepadanya dunia beserta isinya, dan ia seperti itu terus sejak Engkau menciptakannya sampai hari kiamat, kemudian ini (neraka) ialah tempat kembalinya, maka  seakan ia tak pernah merasakan kebaikan sama sekali'."

(Hadis Riwayat Ad-Dailami dengan sanad shahih Abu Said)

Sahabat  yang dihormati,
Ada kisah menakjubkan dari Ibnu Hajar Al-Asqalani. Saat menjadi Ketua Hakim di Mesir, ia berjalan dengan segala kemewahan dan kemegahan . Tiba-tiba datang seorang Yahudi dalam keadaan miskin.

Lalu Yahudi tadi berkata," Bagaimana anda menafsirkan sabda Rasul kalian,"Dunia itu penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang  kafir."

"Boleh anda lihat sendiri saya dalam keadaan miskin, padahal saya kafir. Sementara kamu dalam kenikmatan dan kemegahan, padahal kamu orang beriman?"

Ibnu Hajar berkata," Kamu dengan kesengsaraan dan kemiskinanmu ini sudah terhitung di syurga manakala azab yang pedih menantimu di akhirat-jika kamu mati dalam keadaan kafir. Sementara aku dengan kemegahan ini-jika Allah memasukkanku ke syurga, semua kenikamatan duniawi ini terhitung penjara jika dibandingkan dengan kenikmatan yang menantiku di syurga." (Sahih Al-Hadis al-Qudsiya)

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan mereka berkata, 'Segala puji bagi Allah yang telah memenuhi janji-Nya kepada kami dan telah memberikan tempat ini kepada kami sedang kami (diperkenankan) menempati syurga dimana saja yang kami kehendaki.' Maka (syurga itulah) sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal." (Surah az-Zumar ayat 74)

Walaupun dunai ini seperti penjara bagi orang mukmin, ini bukanlah bermakna orang mukmin hanya berpeluk tubuh dan membiarkan saja nikmat dan rezeki yang ada di dunia ini dan serahkan semuanya kepada orang kafir, bukan begitu, perlu difahami bahawa orang mukminlah yang paling layak mewarisi segala hazanah yang ada untuk di manfaatkan untuk menegakkan syiar dan syariat Allah SWT dimuka bumi. Orang mukminlah yang paling layak menjadi pemimpin yang akan memakmurkan bumi ciptaan Allah SWT supaya semuanya ditakbirkan mengikut kehendak yang Maha Pencipta.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan sungguh telah Kami tulis di dalam zabur setelah (tertulis) di dalam Az-Zikr (Loh Mahfuz) bahawa bumi ini akan di warisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh" (Surah al-Anbiya ayat 105)

Sahabat yang dikasihi,
Akhirkata anggaplah kehidupan ini dan semua yang ada padanya sebagai ujian kepada kita, sesungguhnya Allah SWT akan menilai siapakah manusia yang paling baik amalannya. Di akhirat nanti kedudukan manusia ditentukan beradasarkan apa yang dia lakukan ketika di dunia dan akhir kesudahan kehidupan mereka. Kehidupan didunia hanyalah sementara sahaja.

Oleh itu marilah sama-sama kita menginsafi diri, beristighfar setiap masa dan berdoa memohon keampunan di atas kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan. Persiapkanlah empat bekalan iaitu satu bekalan yang akan kita bawa bersama-sama ke alam Barzakh dan tiga bekalan lagi akan kita tinggalkan di dunia yang mana sahamnya masih kita perolehi iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak-anak yang soleh dan solehah.

1 comment:

  1. sy sgt suka dgn note anda yg ini..blog anda besh.... i like it soo much...

    sy share kat fesbuk taak apa kan??

    ReplyDelete