"cinta adalah kekuatan yang mampu... ~mengubah duri jadi mawar,~mengubah cuka jadi anggur,~mengubah malang jadi untung,~mengubah sedih jadi riang,~mengubah sakit jadi sihat,~mengubah bakhil jadi dermawan,~mengubah padang jadi taman,~mengubah penjara jadi istana,~mengubah amarah jadi ramah,~mengubah musibah jadi muhibbah... itulah cinta..semuanya dianggap indah.."

Tuesday, April 26, 2011

Perasaan Cinta Mencintai Perlu di Asaskan Dengan Iman dan Takwa Kepada Allah


Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap lelaki dan wanita yang sihat akal fikiran telah dikurniakan oleh Allah SWT perasaan cinta dan kasih sayang dalam jiwanya. Cinta dan kasih sayang ini adalah satu fitrah yang ada pada setiap insan

Allah memiliki sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Sifat ini paling banyak disebut kerana mengatasi sifat lain. Allah sendiri menciptakan alam semesta agar makhluk-Nya boleh merasakan cinta dan kasih sayang-Nya.

Cinta dan kasih sayang sesama makhluk hanyalah sebahagian kecil bila dibandingkan cinta dan kasih sayang Allah yang akan diberikan-Nya pada saatnya nanti. Dalam hadis yang dibuat oleh Muslim Ibn al-Hajjaj al-Qusyayri, menyebutkan bahawa Allah SWT memiliki seratus rahmat (kasih sayang), dan satu di antaranya Allah SWT berikan kepada jin, manusia, dan seluruh makhluk hidup yang ada di bumi. Sedangkan 99 rahmat (kasih sayang) Allah yang lain, Allah simpan untuk ditunjukan di hari kiamat kelak.

Manusia adalah makhluk ciptaan Allah kerana diberi potensi berupa pemberian ruh langsung oleh Allah SWT . Hal ini Allah terangkan dalam surat Saad ayat 72 maksudnya : "Kemudian apabila telah Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan ruh (ciptaan) Ku kepadanya ; maka tunduklah kamu dengan bersujud kepada-Nya."

Dalam ayat tersebut, Allah SWT meniupkan ruh ciptaan-Nya kepada manusia. Sehingga, manusia memiliki fitrah untuk menyayangi dan mencintai kepada apa pun juga, seperti sifat Allah iaitu Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

Cinta dan kasih sayang ini juga bagian dari fitrah makhluk Allah. Allah SWT sendiri menciptakan makhluk-Nya berpasang-pasangan agar boleh melahirkan dan menyambung zuriat keturunannya.

Manusia sendiri difitrahkan memiliki rasa cinta dan kasih sayang, khususnya di antara lelaki dan wanita. Hal ini merupakan sunatullah dan tidak boleh dinafikan . Namun, agama mengatur cara untuk melahirkannya dengan cara-cara dan adab yang mulia dan bukan berdasarkan nafsu dan fikiran semata-mata. Bagaimana pun, Allah menciptakan alam semesta ini sesuai dengan ukuran-ukurannya. Ada batasan yang tidak boleh dilanggar. Hal ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam surat Al Qamar ayat 49 yang bermaksud : "Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran".

Cinta dan kasih sayang yang ada pada lelaki dan wanita yang bercadang mencari pasangan hidup perlulah dikendalikan dengan baik dan benar sesuai dengan peraturan syarak . Bila tidak, ianya boleh membawa kepada kerosakan . Aturan cinta dan kasih sayang ini perlu dipelihara, sehingga boleh terpelihara dan keindahannya selalu terjaga serta menjadi benteng yang kokoh.

Cinta dan kasih sayang ini perlulah diasaskan dengan iman dan takwa kepada Allah SWT. Dilaksanakan semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Seseorang yang mengendalikan cinta dan kasih sayang ini jika berlawanan dengan syariat Islam maka cinta dan kasih sayang itu adalah kerana nafsu semata-mata dan ianya adalah palsu dan tidak akan kekal lama.

Jika cinta dan kasih sayang ini di bena di atas asas iman dan takwa, maka semasa pengendaliannya tidak akan berlawanan dengan syariat Islam. Bercinta sebelum berkahwin dibenarkan syarak tetapi mestilah melalui syarat yang ketat. Sebaik-baiknya bercinta selepas akad nikah adalah lebih baik supaya mereka terjamin daripada melakukan maksiat sebelum berkahwin.

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat ramai dikalangan lelaki dan wanita muslim yang sedang dilamun cinta  tidak memahami batas-batas yang dibenarkan oleh syarak. Mereka bercinta semata-mata mengikut emosi dan perasaan darah muda. Mereka bersembang dan berchating berjam-jam lamanya melalui telefon dan facebook. Bagi yang lemah imannya dan tidak berakhlak Islam sanggup berdating berdua-duaan , menonton dan makan bersama tanpa ada mahram.

Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka jangan sekali-kali dia berkhalwat dengan perempuan yang tidak ada bersamanya mahramnya, (kerana) sesungguhnya syaitan adalah orang ketiga bersama kedua mereka itu.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Perbuatan dan sikap yang bermudah-mudah untuk menjaga syaksiah Islam akhirnya boleh membawa padah dengan melakukan perhubungan terlarang iaitu berzina dan melahirkan anak-anak luar nikah.

Walaubagaimanapun Islam menggalakkan melihat dan mengenali peribadi setiap pasangan supaya tidak menyesal apabila telah diijab-kabulkan. Perjumpaan yang dibenarkan syarak adalah perjumpaan yang disertai oleh mahram supaya untuk mengelakkan hawa nafsu dan syaitan mengambil kesempatan untuk menggoda pasangan tersebut.

Lelaki dan wanita tidak boleh berada secara berdua-duaan tanpa ditemani mahram kerana apabila berduaan lelaki dan perempuan yang ketiganya ialah syaitan.

Lelaki dan wanita juga wajib menjaga aurat, akhlak dan adab pergaulan. Jika semua itu dijaga rapi, pakaian menutup aurat dengan sempurna, tidak berdua-duaan sehingga menimbulkan fitnah, menjaga adab tutur bicara, tidak melunak atau memanjakan suara hingga boleh menimbulkan keinginan pada sang lelaki.

Bagaimana caranya? Kita sedia maklum kehidupan hari ini kompleks dan menuntut persediaan diri yang mantap bukan saja dari sudut emosi tetapi juga kepemimpinan keluarga, keupayaan ekonomi, penguasaan ilmu, sebelum seseorang itu melangkah masuk ke gerbang rumah tangga.

Sudah tentu persediaan itu memerlukan masa. Contohnya, menyediakan keupayaan ekonomi. Seseorang itu mungkin terpaksa melanjutkan pelajaran di universiti selama empat tahun, selepas tamat pengajian, perlu mengumpul wang bagi melengkapkan keperluan untuk berumah tangga.

Dalam tempoh berkenaanlah cinta yang berputik antara dua insan perlu dipupuk dan perlu melalui syariat. Jika keperluan untuk berjumpa, bertandang ke rumah keluarga perempuan ketika ibu bapanya ada di rumah, atau jika perlu untuk bersemuka di luar, pastikan pertemuan itu berlaku dengan kehadiran seorang teman yang dipercayai, sebaiknya mahramnya.

Sahabat yang dikasihi,
Dalam Islam sebaik-baik perhubungan semasa sedang 'cinta mencintai' sebelum berkahwin adalah pengisian tarbiah Islam, ilmu yang bermanfaat dan nasihat menasihati yang berguna. Bertaaruf dengan mengenali keluarga dengan lebih dekat lagi kedua-dua belah pihak. Ketika inilah masing-masing perlu melengkapkan diri dengan ilmu fardu ain bab munakahat supaya mereka mengetahui hak-hak sebagai suami dan isteri yang ditetapkan dalam Islam.

Cinta adalah fitrah atau perasaan semula jadi. Cinta perlu dimeterai dengan perkahwinan seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

    “…Dan dijadikan untukmu pasanganmu dan dijadikan antara kamu mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (belas kasihan)…” (Surah Rum, ayat 21)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Ada empat perkara yang termasuk sunnah para Rasul, iaitu; perasaan malu, memakai wangi-wangian, bersiwak, dan berkahwin (menikah).
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi, (no. 1086) di dalam kitab an-Nikah, menurut beliau hadis ini hasan sahih)

Dan diketahui juga, bahawa menjalinkan hubungan melalui ikatan perkahwinan itu adalah suatu perbuatan yang dianjurkan oleh Nabi kita SAW  sendiri dan merupakan sunnah yang wajar kita ambil serta contohi.

Di dalam keadaan tertentu sekiranya perkahwinan diusia muda diperlukan untuk menyelamatkan diri daripada perbuatan perzinaan, maka bukanlah masanya untuk kita rasa malu untuk berkahwin di usia yang awal atau usia remaja. Malah, tiada salahnya dari sudut syarak  sekalipun untuk mengambil keputusan berkahwin awal walau masih berada di institusi-institusi pengajian tertentu.

Perkahwinan awal dapat mengelakkan perbuatan zina yang ditegah oleh Islam. Peliharalah keturunaan kita supaya dilahirkan mengikut peraturan syarak iaitu melalui perkahwinan yang sah. Tinggalkanlah amalan dan cara hidup jahilaiah yang mengalakkan pergaulan bebas hingga boleh merosakkan institisi kekeluargaan Islam.

Oleh itu marilah sama-sama kita jaga akhlak kita supaya sentiasa berakhlak dengan akhlak Islam. Kita jaga hati kita supaya tidak wujud fitnah hati iaitu hati yang cenderung untuk buat maksiat dan kemungkaran. Sentiasalah memohon ampun kepada Allah SWT dengan beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu siang untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu malam, dan membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu malam untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu siang. Hal ini berkekalan sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat

1 comment:

  1. suke note kamu..!!
    likes its soo much..
    share kat fesbuk taak pa ka?

    ReplyDelete